23 Tetapi apabila mereka datang ke negeri ini dan mendudukinya, mereka tidak mentaati perintah-Mu, dan tidak hidup menurut ajaran-Mu. Mereka tidak melaksanakan satu pun daripada perintah-Mu. Oleh itu Engkau mendatangkan segala bencana ini kepada mereka.
24 Orang Babilonia telah membina tambak pengepungan di sekeliling kota untuk merampasnya, dan sekarang mereka sedang menyerangnya. Pertempuran, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan mereka. Engkau nampak bahawa semua yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan.
25 Namun demikian, ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menyuruh aku membeli tanah di hadapan beberapa orang saksi, walaupun sebentar lagi kota akan ditawan oleh orang Babilonia.”
26 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku,
27 “Akulah TUHAN, Allah segenap manusia. Tiada yang terlalu sukar bagi-Ku.
28 Aku akan menyerahkan kota ini kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Mereka akan merampas kota ini,
29 dan membakarnya. Mereka akan membakarnya sampai habis bersama dengan rumah-rumah orang yang membangkitkan kemurkaan-Ku. Di bumbung rumah-rumah itu mereka telah membakar kemenyan kepada Baal dan mencurahkan wain sebagai persembahan kepada dewa-dewa.