33 Mereka telah membelakangi Aku dan walaupun Aku terus mengajar mereka, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran.
34 Malah Rumah-Ku yang dibina untuk tempat beribadat kepada-Ku telah dinajiskan oleh mereka dengan meletakkan berhala-berhala mereka yang menjijikkan di tempat itu.
35 Mereka membina mazbah-mazbah untuk Baal di Lembah Hinom, dan mempersembahkan anak-anak mereka kepada Dewa Molokh. Padahal, Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal itu, bahkan tidak pernah timbul dalam fikiran-Ku bahawa mereka akan melakukan perbuatan sekeji itu dan menyebabkan orang Yehuda berdosa.”
36 TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, bangsa Israel berkata bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilonia. Sekarang, dengarlah lagi firman-Ku.
37 Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat.
38 Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka.
39 Aku akan memberi mereka satu tujuan hidup: untuk menghormati Aku sepanjang masa bagi kebaikan mereka sendiri dan keturunan mereka.