4 Hai Zedekia, dengarlah firman-Ku tentang engkau. Engkau tidak akan dibunuh dalam pertempuran.
5 Engkau akan meninggal dengan tenteram, dan sebagaimana orang membakar kemenyan ketika mereka mengebumikan nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelum zamanmu, demikian juga mereka akan membakar kemenyan bagimu. Mereka akan berkabung bagimu dan berkata, ‘Raja kita sudah mangkat!’ Aku, TUHAN, telah berfirman.”
6 Kemudian aku menyampaikan perkhabaran itu kepada Raja Zedekia di Yerusalem,
7 pada masa tentera raja Babilonia menyerang kota Yerusalem. Tentera Babilonia juga menyerang Lakhis dan Aseka, dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.
8 Raja Zedekia dan penduduk Yerusalem membuat perjanjian untuk membebaskan
9 orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada seorang pun daripada bangsa Israel yang memperhamba sesama bangsanya.
10 Semua rakyat dan pemimpin mereka bersetuju untuk membebaskan hamba mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah yang dilakukan oleh mereka.