8 Oleh itu menangislah dan merataplah,pakailah kain guni tanda berduka,kerana kemurkaan TUHAN yang menyala-nyalabelum reda terhadap Yehuda.
9 TUHAN berfirman, “Pada hari itu raja-raja dan para pegawai akan patah semangat; imam-imam akan terperanjat, dan nabi-nabi terkejut.”
10 Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, Engkau betul-betul telah menipu penduduk Yerusalem! Engkau berfirman bahawa akan ada kedamaian, tetapi sekarang nyawa mereka terancam.”
11 Masanya akan tiba apabila penduduk Yerusalem diberitahu bahawa angin panas dari gurun sedang bertiup ke arah mereka. Angin itu bukan angin yang hanya menerbangkan sekam,
12 melainkan angin kuat yang datang atas perintah TUHAN. TUHAN sendirilah yang menjatuhkan hukuman terhadap umat-Nya.
13 Lihatlah musuh muncul seperti awan. Kereta kudanya seperti puting beliung, dan kudanya lebih pantas daripada burung helang. Kita ditimpa malang! Kita binasa!
14 Hai Yerusalem, bersihkanlah hatimu daripada segala kejahatan supaya engkau diselamatkan. Sampai bilakah engkau memikirkan perkara jahat?