Yeremia 44:11-17 BMDC

11 Oleh itu Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan menentang kamu dan memusnahkan seluruh Yehuda.

12 Rakyat yang masih tinggal di Yehuda, dan yang nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana, pasti Aku binasakan. Mereka semua, baik besar mahupun kecil, akan mati di Mesir dalam peperangan atau kerana kelaparan. Keadaan mereka akan mengerikan. Orang akan menghina mereka dan menggunakan nama mereka sebagai kutuk.

13 Aku akan menghukum mereka yang tinggal di Mesir, sebagaimana Aku menghukum Yerusalem dengan peperangan, kelaparan, dan wabak.

14 Tiada seorang pun daripada orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan terselamat atau hidup. Tiada seorang pun akan pulang ke Yehuda, tanah air yang dirindu-rindukan mereka sebagai tempat tinggal. Tiada yang akan pulang kecuali beberapa orang pelarian.”

15 Kemudian banyak sekali orang datang kepadaku, iaitu semua lelaki yang tahu bahawa isteri mereka mempersembahkan korban kepada dewa, dan semua wanita yang berdiri di situ, termasuk orang Israel yang tinggal di bahagian selatan Mesir. Mereka berkata kepadaku,

16 “Kami tidak mahu mendengar perkataan yang kamu ucapkan demi nama TUHAN.

17 Kami akan melakukan segala perkara yang telah kami katakan. Kami akan mempersembahkan korban kepada dewi kami, Ratu Syurga. Kami akan mempersembahkan wain kepadanya, sebagaimana kami, nenek moyang kami, raja kami, dan pemimpin-pemimpin kami biasa melakukannya di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Pada masa itu kami mempunyai banyak makanan; kami makmur dan tidak susah.