Yeremia 44:3-9 BMDC

3 Kemusnahan itu berlaku kerana penduduknya telah berbuat jahat dan membangkitkan kemurkaan-Ku. Mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa, dan memuja dewa-dewa yang tidak pernah dipuja oleh mereka, kamu, atau nenek moyang kamu.

4 Aku terus-menerus mengutus hamba-Ku, para nabi kepada kamu; mereka melarang kamu melakukan kejahatan yang Aku benci.

5 Tetapi kamu tidak mahu mendengarkan atau memperhatikannya. Kamu tidak mahu meninggalkan perbuatan jahat; kamu tetap mempersembahkan korban kepada dewa-dewa.

6 Itulah sebabnya kemurkaan dan berang-Ku menimpa kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem. Aku membakar semuanya sehingga menjadi runtuhan dan tempat yang mengerikan sampai sekarang.

7 Oleh itu sekarang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, bertanya sebabnya kamu melakukan perkara yang jahat itu terhadap diri kamu sendiri. Adakah kamu hendak membinasakan kaum lelaki, wanita, anak-anak, dan bayi, sehingga tiada seorang pun daripada bangsa kamu yang tinggal?

8 Mengapakah kamu membangkitkan kemurkaan-Ku dengan menyembah berhala-berhala dan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa di Mesir, tempat tinggal kamu sekarang? Adakah kamu melakukannya untuk membinasakan diri kamu sendiri, sehingga semua bangsa di bumi ini menghina kamu dan menggunakan nama kamu sebagai kutuk?

9 Adakah kamu lupa akan semua kejahatan yang dilakukan oleh nenek moyang kamu, oleh raja-raja Yehuda dan permaisuri mereka, dan juga oleh kamu sendiri dan isteri kamu, di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem?