16 Para pemanah mereka askar yang gagah berani; mereka membunuh tanpa belas kasihan.
17 Mereka akan menghabiskan hasil tanah dan makanan kamu; mereka akan membunuh anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan. Mereka akan menyembelih ternakan lembu dan domba kamu; mereka akan memusnahkan pokok anggur dan pokok ara kamu. Kota-kota berkubu yang kamu harapkan akan dihancurkan oleh tentera mereka.
18 TUHAN berfirman, “Tetapi pada masa itu pun Aku tidak akan memusnahkan umat-Ku sama sekali.
19 Apabila mereka bertanya sebabnya Aku melakukan semua itu, katakanlah hai Yeremia, bahawa sebagaimana mereka meninggalkan Aku di negeri mereka sendiri lalu mengabdikan diri kepada dewa-dewa bangsa lain, begitu juga mereka akan mengabdikan diri kepada bangsa asing di tanah yang bukan negeri mereka.”
20 TUHAN berfirman, “Beritahulah keturunan Yakub yang tinggal di Yehuda:
21 Dengarlah, hai kamu orang bodoh dan tolol! Kamu mempunyai mata tetapi tidak melihat; mempunyai telinga tetapi tidak mendengar!
22 Akulah TUHAN; mengapa kamu tidak takut akan Aku? Mengapa kamu tidak gementar di hadirat-Ku? Aku menjadikan pantai sebagai perbatasan laut yang tidak dapat dilampaui selama-lamanya. Laut dapat bergelora dan gelombang dapat mengamuk, tetapi tidak dapat melintasi perbatasan itu.