25 Aku telah membuka tempat penyimpanan senjata-Ku. Dalam kemurkaan-Ku, Aku telah mengeluarkan senjata-Ku, kerana Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, harus menjalankan tugas di Babilonia.
26 Seranglah negeri itu dari segala arah, dan kamu harus memecah masuk ke dalam semua gudang biji-bijian! Tumpukkan barang jarahan seperti biji-bijian ditumpukkan! Musnahkanlah negeri itu! Jangan tinggalkan apa-apa!
27 Bunuhlah semua askar mereka! Sembelihlah mereka semua! Malanglah penduduk Babilonia! Sudah tiba waktunya mereka dihukum!”(
28 Orang pelarian melarikan diri dari Babilonia lalu datang ke Yerusalem; mereka menceritakan bagaimana TUHAN, Allah kita membalas perbuatan orang Babilonia terhadap Rumah TUHAN.)
29 “Suruhlah pasukan pemanah menyerang Babel. Kerahlah setiap orang yang tahu menggunakan busur dan panah. Kepunglah kota itu dan jangan benarkan sesiapa pun melarikan diri. Balaslah segala perbuatan Babel; perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan orang lain, kerana Babel bertindak dengan angkuh terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel.
30 Itulah sebabnya kaum pemuda Babel akan dibunuh di jalan-jalan kota, dan semua askarnya dibinasakan pada hari itu. Aku, TUHAN, telah berfirman.
31 Hai Babilonia, engkau penuh kesombongan. Itulah sebabnya Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, menentang engkau! Tibalah masanya Aku menghukum engkau.