3 Orang daripada bangsa jahat ini yang masih hidup, yang telah Kucerai-beraikan ke berbagai-bagai tempat, akan lebih suka mati daripada hidup. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
4 TUHAN menyuruh aku menyampaikan kata-kata ini kepada umat-Nya, “Apabila orang jatuh, tentu mereka akan bangun lagi. Apabila orang sesat di jalan, tentu mereka akan kembali ke pangkal jalan.
5 Tetapi mengapa kamu, umat-Ku, terus-menerus meninggalkan Aku dan tidak kembali kepada-Ku? Kamu berpegang teguh kepada berhala kamu dan tidak mahu kembali kepada-Ku.
6 Aku telah mendengar baik-baik, tetapi kamu tidak bercakap jujur. Tiada seorang pun antara kamu menyesali perbuatannya yang jahat. Tiada seorang pun yang berkata, ‘Apakah kesalahanku?’ Kamu semua mengikuti jalan sendiri seperti kuda meluru ke medan pertempuran.
7 Burung bangau pun tahu waktunya untuk pulang; burung tekukur, burung layang-layang, dan burung murai juga tahu masanya untuk berpindah tempat. Tetapi kamu, umat-Ku, tidak mengetahui hukum yang Kuberikan kepada kamu.
8 Berani betul kamu berkata bahawa kamu bijaksana dan mengetahui hukum-Ku! Lihatlah, hukum-Ku sudah diubah oleh guru-guru agama yang tidak jujur.
9 Para cerdik pandai di kalangan kamu akan dipermalukan; mereka akan bingung dan terjebak. Mereka tidak mahu menerima firman-Ku; sekarang, kebijaksanaan apakah yang masih ada pada mereka?