1 Selepas kematian Musa hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa.
2 TUHAN berfirman, “Hamba-Ku Musa sudah meninggal. Hendaklah kamu bersiap sedia, engkau dan semua umat Israel. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang hendak Aku berikan kepada mereka.
3 Aku telah memberitahu Musa bahawa seluruh tanah yang kamu jejaki telah Aku berikan kepadamu dan kepada semua umat-Ku.
4 Sempadan wilayah kamu akan bermula dari gurun di sebelah selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di sebelah utara; dari sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat di sebelah timur dan meliputi negeri orang Het, sampai ke Laut Tengah di sebelah barat.
5 Hai Yosua, tidak seorang pun akan dapat mengalahkan engkau selama engkau hidup. Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau.
6 Hendaklah engkau yakin dan berani, kerana engkau akan menjadi pemimpin umat ini apabila mereka menakluki tanah yang Kujanjikan kepada nenek moyang mereka.
7 Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu, supaya engkau berjaya ke mana pun engkau pergi.