Yosua 12:2-8 BMDC

2 Raja yang seorang ialah Raja Sihon, raja orang Amori yang memerintah di Hesybon. Kerajaannya meliputi separuh daripada daerah Gilead: dari Aroer (di tepi lembah Arnon) dan kota di tengah-tengah lembah itu sampai ke Sungai Yabok, iaitu sempadan Amon;

3 termasuk juga Lembah Yordan, dari Tasik Galilea ke arah selatan sampai ke Bet-Yesimot (di sebelah timur Laut Mati) dan terus ke kaki Gunung Pisga.

4 Mereka juga mengalahkan Raja Og dari Basan, salah seorang keturunan Refaim yang terakhir; raja itu memerintah di Asytarot dan Edrei.

5 Kerajaannya meliputi Gunung Hermon, Salkha, dan seluruh Basan, sampai ke sempadan Gesur dan Maakha, dan juga separuh daripada Gilead, sampai ke wilayah kerajaan Raja Sihon dari Hesybon.

6 Raja-raja itu dikalahkan oleh Musa dan umat Israel. Musa, hamba TUHAN, telah memberikan wilayah raja-raja itu kepada suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye sebagai milik mereka sendiri.

7 Yosua dan umat Israel mengalahkan semua raja di wilayah sebelah barat Sungai Yordan, dari Baal-Gad di lembah negeri Lebanon sampai ke Gunung Halak di selatan, dekat Edom. Yosua membahagikan tanah itu kepada suku-suku Israel, lalu memberikannya kepada mereka sebagai tanah milik mereka.

8 Bahagian tanah itu meliputi kawasan perbukitan, kaki-kaki bukit di sebelah barat, Lembah Yordan dengan kaki-kaki bukit di situ, lereng-lereng bukit di sebelah timur, dan tanah gersang di sebelah selatan. Kawasan itu tempat tinggal orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi dahulu.