1 Sempadan di bahagian selatan tanah yang diberikan kepada keturunan Yusuf bermula dari Sungai Yordan dekat Yerikho, di satu tempat di sebelah timur mata air Yerikho, sampai ke kawasan gurun. Sempadan itu bermula dari Yerikho lalu naik ke kawasan perbukitan sampai ke Betel.
2 Dari Betel sempadan itu menuju ke Lus melalui Atarot, tempat tinggal orang Arki.
3 Kemudian sempadan itu menuju ke sebelah barat, ke kawasan orang Yaflet, sampai ke kawasan Bet-Horon-Hilir. Dari situ sempadan itu menuju ke Gezer, lalu berakhir di Laut Tengah.
4 Itulah wilayah yang diterima oleh keturunan Yusuf, iaitu suku Efraim dan suku Manasye Barat, sebagai milik mereka.
5 Berikut ialah wilayah yang diterima oleh keluarga-keluarga suku Efraim: sempadannya bermula dari Atarot-Adar, menghala ke timur sampai ke Bet-Horon-Hulu.
6 Dari situ sempadan itu menuju ke Laut Tengah. Mikhmetat terletak di bahagian utara wilayah itu. Dari situ, di sebelah timur, sempadan membelok ke arah Taanat-Silo. Sempadan itu melalui kota Taanat-Silo di bahagian timur, lalu ke Yanoah.