2 Tanah di sebelah barat Sungai Yordan diberikan kepada keluarga suku Manasye yang lain: keluarga Abiezer, Helek, Asriel, Sikhem, Hefer, dan Semida. Mereka keturunan lelaki daripada Manasye anak Yusuf, dan mereka ketua-ketua keluarga.
3 Tetapi Zelafehad anak Hefer, cucu Gilead, (Gilead ialah anak Makhir, cucu Manasye), tidak mempunyai anak lelaki. Zelafehad cuma mempunyai anak perempuan. Nama mereka ialah Makhla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza.
4 Mereka menghadap Imam Eleazar, Yosua anak Nun, serta para pemimpin Israel, dan berkata, “TUHAN memerintah Musa supaya memberi kami bahagian tanah untuk menjadi milik kami seperti sanak saudara kami yang lelaki.” Oleh itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, mereka pun diberikan tanah bersama dengan beberapa orang saudara lelaki mereka.
5 Itulah sebabnya suku Manasye mendapat sepuluh bahagian tanah, selain daerah Gilead dan Basan di sebelah timur Sungai Yordan,
6 kerana keturunannya lelaki dan perempuan mendapat bahagian tanah. Tanah Gilead diberikan kepada keturunan Manasye yang lain.
7 Sempadan wilayah Manasye bermula dari Asyer sampai ke Mikhmetat, di sebelah timur Sikhem. Dari sana sempadan itu menghala ke selatan, meliputi kawasan orang En-Tapuah.
8 Tanah di sekitar Tapuah dimiliki oleh Manasye, tetapi kota Tapuah di sempadan wilayah itu dimiliki oleh keturunan Efraim.