Yosua 22:19-25 BMDC

19 Oleh itu, jika wilayah kamu najis dan tidak layak untuk dijadikan tempat ibadat kepada TUHAN, datanglah ke negeri TUHAN, tempat letaknya Khemah TUHAN. Mintalah tanah daripada kami, tetapi jangan berontak terhadap TUHAN ataupun kami dengan membina sebuah mazbah lagi selain mazbah TUHAN, Allah kita yang sudah didirikan.

20 Ingatlah bagaimana Akhan anak Zerah melanggar perintah tentang barang-barang yang mesti dimusnahkan. Akibatnya, seluruh masyarakat Israel dihukum; bukan Akhan seorang saja yang mati kerana dosanya.”

21 Orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur menjawab,

22 “Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Dia tahu mengapa kami berbuat demikian dan kami hendak kamu tahu juga! Jika kami memberontak terhadap TUHAN dan tidak percaya kepada-Nya, bunuhlah kami sekarang juga!

23 Jika kami tidak taat kepada TUHAN dan membina mazbah kami sendiri sebagai tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun untuk mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, atau korban untuk memohon berkat TUHAN, biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kami.

24 Maksud kami bukanlah demikian! Kami membina mazbah ini kerana kami khuatir mungkin pada kemudian hari keturunan kamu akan berkata kepada keturunan kami, ‘Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN, Allah Israel!

25 TUHAN telah menjadikan Sungai Yordan ini sebagai sempadan antara kami dan kamu daripada suku Ruben dan Gad. Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN.’ Dengan demikian keturunan kamu akan menyebabkan keturunan kami berhenti beribadat kepada TUHAN.