Yosua 22:28-34 BMDC

28 Maksud kami begini: jika perkara itu berlaku, dapatlah keturunan kami berkata, ‘Lihatlah, nenek moyang kami telah membina sebuah mazbah sama seperti mazbah TUHAN. Mazbah itu bukan untuk membakar korban ataupun untuk mempersembahkan persembahan, tetapi sebagai tanda bagi kedua-dua pihak kita.’

29 Kami tidak sekali-kali akan memberontak terhadap TUHAN atau berhenti mengabdi kepada-Nya, dengan membina mazbah sebagai tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, atau persembahan. Kami tidak sekali-kali akan membina mazbah lain; mazbah TUHAN, Allah kita sudah ada di hadapan Khemah-Nya.”

30 Imam Pinehas dan sepuluh orang pemimpin umat Israel, ketua-ketua keluarga Israel yang menyertai Pinehas, mendengar penjelasan suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur. Mereka puas hati mendengarnya.

31 Pinehas anak Imam Eleazar berkata kepada mereka, “Sekarang kami tahu bahawa TUHAN menyertai kita. Kamu tidak memberontak terhadap-Nya. Kamu telah menyelamatkan umat Israel daripada hukuman TUHAN.”

32 Kemudian Pinehas dan para pemimpin itu meninggalkan suku Ruben dan Gad di daerah Gilead, lalu mereka pulang ke Kanaan dan melaporkan perkara itu kepada umat Israel.

33 Umat Israel puas hati dan memuji Allah. Mereka tidak lagi bercadang untuk berperang melawan suku Ruben dan Gad, ataupun memusnahkan wilayah mereka.

34 Orang daripada suku Ruben dan Gad berkata, “Mazbah ini menjadi saksi kepada kita semua bahawa TUHAN ialah Allah.” Oleh itu mereka menamakan mazbah itu “Saksi”.