Yosua 22:3-11 BMDC

3 Selama ini kamu tidak membiarkan sesama umat Israel berjuang sendirian. Kamu berhati-hati mentaati perintah TUHAN, Allah kamu.

4 Sekarang, sebagaimana yang dijanjikan-Nya, TUHAN, Allah kamu telah memberikan keamanan kepada sesama kamu umat Israel. Oleh itu, baliklah ke negeri milik kamu, tanah di sebelah timur Sungai Yordan yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN kepada kamu.

5 Pastikanlah bahawa kamu taat kepada hukum yang diberikan oleh Musa: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah kehendak-Nya, patuhilah perintah-Nya, setialah kepada-Nya, dan mengabdilah kepada-Nya dengan sepenuh hati dan jiwa.”

6-8 Yosua memberkati mereka dan melepaskan mereka dengan kata-kata ini, “Kamu sekarang kaya dan kamu pulang dengan membawa banyak ternakan, perak, emas, gangsa, besi, dan pakaian. Bahagi-bahagikanlah barang jarahan yang kamu ambil daripada musuh, dengan sesama suku kamu.” Selepas itu mereka pulang.Musa telah memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan kepada setengah daripada suku Manasye, dan Yosua telah memberikan tanah di sebelah barat Sungai Yordan kepada setengah lagi suku Manasye, bersama dengan suku-suku lain.

9 Oleh itu orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur pulang. Mereka meninggalkan umat Israel yang lain di Silo, di tanah Kanaan, lalu mereka pergi ke Gilead, ke tanah milik mereka sendiri, yang diterima mereka menurut perintah TUHAN melalui Musa.

10 Apabila suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur tiba di Gelilot, ketika masih di sebelah barat Sungai Yordan, mereka membina sebuah mazbah yang besar dan indah di tepi sungai itu.

11 Umat Israel yang lain diberitahu tentang hal itu, “Orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur telah membina sebuah mazbah di Gelilot dekat Sungai Yordan, di bahagian wilayah kita!”