12 Jika kamu tidak setia, dan kamu bersahabat dengan bangsa-bangsa yang masih di tengah-tengah kamu, dan kamu berkahwin dengan mereka,
13 pasti TUHAN, Allah kamu tidak lagi akan mengusir bangsa-bangsa itu apabila kamu memerangi mereka. Bangsa-bangsa itu akan berbahaya sekali bagi kamu kerana mereka akan menjadi seperti jerat atau seperti perangkap untuk kamu. Mereka juga akan menyebabkan kamu sangat menderita kerana mereka akan menjadi seperti cambuk pada belakang kamu, atau seperti duri di dalam mata kamu. Kamu akan terus menderita sehingga tidak seorang pun tinggal di tanah baik ini yang diberikan TUHAN kepada kamu.
14 Sekarang sudah masanya saya meninggal. Kamu masing-masing tahu betul bahawa TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu segala yang baik, yang dijanjikan-Nya. Setiap janji-Nya telah ditepati; tiada satu pun yang dimungkiri-Nya.
15 Tetapi sebagaimana Dia menepati setiap janji-Nya kepada kamu, demikian juga Dia akan melaksanakan setiap ancaman-Nya.
16 Jika kamu melanggar perjanjian yang diperintahkan TUHAN, Allah kamu untuk ditaati, dan jika kamu mengabdi serta bersembahyang kepada dewa-dewa, TUHAN akan murka dan menghukum kamu. Dalam masa yang singkat kamu semua akan lenyap dari tanah yang baik ini, yang diberikan TUHAN kepada kamu.”