1 Pagi esoknya, Yosua dan semua umat Israel bangun awal. Mereka meninggalkan perkhemahan di Sitim, lalu pergi ke kawasan Sungai Yordan. Mereka berkhemah di situ sementara menunggu untuk menyeberangi sungai itu.
2 Selepas tiga hari, para pemimpin mereka menjelajahi perkhemahan
3 dan berkata kepada umat Israel, “Apabila kamu nampak imam-imam membawa Tabut Perjanjian TUHAN Allah kamu, berangkatlah dan ikutlah mereka.
4 Kamu belum pernah ke sini, oleh itu mereka akan memimpin perjalanan kamu. Tetapi jangan hampiri Tabut Perjanjian. Berjalanlah kira-kira satu kilometer di belakang Tabut Perjanjian.”
5 Yosua berkata kepada umat itu, “Sucikanlah diri kamu kerana esok TUHAN akan melakukan mukjizat di tengah-tengah kamu.”
6 Kemudian Yosua menyuruh imam-imam mengangkat Tabut Perjanjian dan berjalan mendahului umat Israel. Imam-imam itu pun berbuat demikian.
7 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Apa yang Aku lakukan hari ini akan menyebabkan semua umat Israel sangat menghormati engkau. Mereka akan sedar bahawa Aku menyertai engkau sebagaimana Aku menyertai Musa.