1 Selepas seluruh bangsa itu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN berfirman kepada Yosua,
2 “Pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku,
3 lalu suruhlah mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah sungai, tepat pada tempat imam-imam itu berdiri. Suruhlah mereka mengangkat batu-batu itu dan meletakkannya di tempat kamu berkhemah malam ini.”
4 Kemudian Yosua memanggil dua belas orang yang telah dipilihnya
5 dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu.
6 Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu,
7 beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.”