5 dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu.
6 Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu,
7 beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.”
8 Mereka menurut perintah Yosua. Sebagaimana perintah TUHAN kepada Yosua, mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Mereka memikul batu-batu itu ke tempat perkhemahan lalu meletakkan semuanya di sana.
9 Yosua juga menyusun dua belas buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat imam-imam itu berdiri. (Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.)
10 Para imam berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua telah dilakukan oleh umat itu. Itulah yang diperintahkan oleh Musa kepada Yosua.Umat Israel menyeberangi sungai dengan cepat
11 dan apabila mereka semua sampai di seberang, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN berjalan di hadapan mereka.