Yosua 7:20-26 BMDC

20 Akhan menjawab, “Sesungguhnya saya telah berdosa terhadap TUHAN, Allah Israel. Inilah yang saya lakukan.

21 Saya mendapati sehelai jubah yang cantik buatan Babilonia, perak seberat hampir dua kilogram, dan sebatang emas yang beratnya lebih daripada setengah kilogram di antara barang-barang jarahan itu. Saya begitu menginginkan barang-barang itu sehingga saya mengambilnya. Barang-barang itu tertanam di tanah di dalam khemah saya; perak itu terletak di bawah sekali.”

22 Kemudian Yosua menyuruh beberapa orang berlari ke khemah itu. Mereka mendapati barang-barang terkutuk itu benar-benar tertanam di sana, dengan perak terletak di bawah sekali.

23 Mereka membawa barang-barang itu keluar dari khemah, lalu membawanya kepada Yosua dan semua umat Israel. Mereka meletakkan barang-barang itu di hadapan TUHAN.

24 Yosua dan semua umat Israel menangkap Akhan, lalu mengambil perak, jubah, dan emas itu; mereka juga menangkap anak-anaknya lelaki dan perempuan dan mengambil lembu, keldai, domba, khemah, dan segala miliknya lalu membawa semuanya ke Lembah Kesusahan.

25 Kemudian Yosua berkata, “Lihatlah kesusahan yang telah engkau datangkan kepada kami! Sekarang TUHAN pun akan mendatangkan kesusahan kepadamu!” Maka semua umat Israel merejam Akhan sehingga mati. Mereka juga merejam dan membakar anggota keluarganya dan segala miliknya.

26 Kemudian mereka menimbuninya dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar. Timbunan batu itu masih ada di sana sampai hari ini. Itulah sebabnya tempat itu masih dinamakan Lembah Kesusahan.Selepas itu TUHAN tidak murka lagi.