13 Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.
14 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala.
15 Aku berkata-kata kepada kamu seperti kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri kata-kataku ini.
16 Semasa Perjamuan Tuhan, kita minum wain dengan mengucap syukur kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dengan Kristus dalam kematian-Nya. Semasa roti dibahagi-bahagikan untuk dimakan bersama-sama, hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dalam tubuh Kristus.
17 Kita yang banyak ini satu tubuh, kerana hanya ada satu roti dan kita semua makan daripada roti yang satu itu juga.
18 Perhatikanlah orang Yahudi: Mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah, sama-sama beribadat kepada Allah.
19 Adakah aku memaksudkan bahawa berhala ataupun makanan yang dipersembahkan kepada berhala itu tidak mempunyai erti sama sekali?