6 Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu;
7 juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, “Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.”
8 Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu.
9 Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa.
10 Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut.
11 Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.
12 Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh.