1 Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain. Berusahalah juga untuk menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah, terutama sekali kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah.
2 Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, tidak bercakap dengan manusia, tetapi mereka bercakap dengan Allah. Tidak seorang pun dapat memahami apa yang dikatakan oleh mereka, kerana Roh Allah menyebabkan mereka berkata-kata tentang hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah.
3 Tetapi orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, berkata-kata kepada manusia. Dengan demikian mereka menguatkan, menggalakkan dan menghibur orang lain.
4 Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib hanya menguatkan diri sendiri, sedangkan orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah meneguhkan jemaah.