16 Jika kamu mengucap syukur kepada Allah dengan rohmu sahaja, orang lain dalam pertemuan itu tidak dapat berkata ‘Amin’ atau ‘Aku bersetuju’, apabila kamu selesai berdoa. Dia tidak memahami apa yang kamu katakan.
17 Meskipun doa kesyukuranmu itu baik, tetapi kamu tidak meneguhkan orang lain.
18 Aku bersyukur kepada Allah kerana aku lebih sering bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib daripada kamu semua.
19 Tetapi ketika jemaah berkumpul untuk beribadat, aku lebih suka menggunakan lima patah kata yang dapat difahami orang daripada menggunakan beribu-ribu patah kata dalam bahasa yang ajaib. Dengan demikian aku dapat mengajar orang lain dengan jelas.
20 Saudara-saudaraku, janganlah berfikir seperti kanak-kanak. Kamu haruslah seperti kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa tentang kejahatan, tetapi kamu harus matang dalam pemikiran kamu.
21 Di dalam Alkitab tertulis,“Tuhan berfirman, ‘Melalui orang yang berkata-kata dalam bahasa yang ajaib,Aku akan berfirman kepada umat-Ku.Bahkan melalui orang asing, Aku akan berfirman kepada umat-Ku,namun demikian umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku.’ ”
22 Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib adalah tanda untuk orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan bukan untuk orang yang percaya kepada Kristus. Tetapi kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah adalah tanda untuk orang yang percaya kepada Kristus, bukan untuk orang yang tidak percaya kepada-Nya.