1 Korintus 14:19-25 BM

19 Tetapi ketika jemaah berkumpul untuk beribadat, aku lebih suka menggunakan lima patah kata yang dapat difahami orang daripada menggunakan beribu-ribu patah kata dalam bahasa yang ajaib. Dengan demikian aku dapat mengajar orang lain dengan jelas.

20 Saudara-saudaraku, janganlah berfikir seperti kanak-kanak. Kamu haruslah seperti kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa tentang kejahatan, tetapi kamu harus matang dalam pemikiran kamu.

21 Di dalam Alkitab tertulis,“Tuhan berfirman, ‘Melalui orang yang berkata-kata dalam bahasa yang ajaib,Aku akan berfirman kepada umat-Ku.Bahkan melalui orang asing, Aku akan berfirman kepada umat-Ku,namun demikian umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku.’ ”

22 Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib adalah tanda untuk orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan bukan untuk orang yang percaya kepada Kristus. Tetapi kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah adalah tanda untuk orang yang percaya kepada Kristus, bukan untuk orang yang tidak percaya kepada-Nya.

23 Andaikata jemaah berkumpul lalu semua orang mula bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, dan andaikata beberapa orang luar atau orang bukan Kristian datang, tentu mereka akan menyangka kamu semua gila.

24 Tetapi jika kamu semua menyampaikan perkhabaran daripada Allah, lalu datanglah orang bukan Kristian atau orang luar, orang itu akan mendengar apa yang kamu katakan dan menyedari dosa-dosanya. Dia akan disalahkan oleh apa yang didengarnya.

25 Semua hal yang tersembunyi di dalam hatinya akan terdedah. Lalu dia akan merendahkan diri dan menyembah Allah serta mengaku, “Allah benar-benar hadir di kalangan kamu!”