25 Semua hal yang tersembunyi di dalam hatinya akan terdedah. Lalu dia akan merendahkan diri dan menyembah Allah serta mengaku, “Allah benar-benar hadir di kalangan kamu!”
26 Saudara-saudaraku, beginilah maksudku. Pada waktu kamu berhimpun untuk menyembah Tuhan, hendaklah seorang menyanyi, seorang lagi mengajar, seorang lagi menyampaikan perkhabaran daripada Allah, seorang lagi menyampaikan perkhabaran dalam bahasa yang ajaib, dan seorang lagi menjelaskan apa yang dikatakan orang itu. Semuanya harus dilakukan untuk menolong dan membina jemaah.
27 Jika ada yang hendak bercakap dalam bahasa yang ajaib, paling banyak haruslah dua atau tiga orang sahaja bergilir bercakap. Seseorang haruslah menjelaskan apa yang dikatakan itu.
28 Tetapi jika di situ tidak ada orang yang dapat menjelaskannya, maka orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib harus diam. Biarlah mereka berkata-kata dalam hati sahaja kepada Allah.
29 Dua atau tiga orang yang menerima perkhabaran daripada Allah harus menyampaikannya, sementara yang lain mempertimbangkan apa yang dikatakan itu.
30 Tetapi jika seorang yang hadir dalam perjumpaan itu menerima perkhabaran daripada Allah, maka orang yang sedang berkata-kata harus berhenti.
31 Kamu semua boleh menyampaikan perkhabaran daripada Allah, seorang demi seorang. Dengan demikian semua orang akan menerima ajaran dan galakan.