1 Korintus 7:12-18 BM

12 Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya.

13 Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian, dan suaminya bersetuju hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya.

14 Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya anak-anak itu diterima oleh Allah.

15 Tetapi jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup damai.

16 Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu?

17 Hendaklah masing-masing hidup menurut pimpinan Tuhan seperti yang sudah ditentukan Tuhan baginya, semasa Allah memanggil dia. Inilah peraturan yang aku ajarkan kepada jemaah.

18 Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh mencuba menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat.