1 Korintus 7:9-15 BM

9 Tetapi jika kamu tidak dapat menahan nafsu, maka berkahwinlah. Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar.

10 Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya.

11 Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.

12 Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya.

13 Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian, dan suaminya bersetuju hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya.

14 Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya anak-anak itu diterima oleh Allah.

15 Tetapi jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup damai.