1 Saudara-saudaraku, kamu sendiri tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia.
2 Kamu tahu bahawa kami dianiaya dan dihina di Filipi, sebelum kami datang kepada kamu di Tesalonika. Meskipun kami mengalami tentangan, Allah kita mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu Berita Baik yang datang daripada-Nya.
3 Rayuan kami kepada kamu tidak berdasarkan kesilapan ataupun maksud yang tidak murni. Kami juga tidak cuba memperdaya sesiapa pun.
4 Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami.
5 Kamu tahu bahawa kami tidak datang kepada kamu dengan kata-kata yang mengangkat, ataupun dengan maksud untuk mengambil untung daripada kamu. Allah saksi kami!
6 Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain.