1 Tesalonika 2:10-16 BM

10 Kamulah saksi kami, demikian juga Allah. Kelakuan kami suci, benar, dan tidak bercela terhadap kamu yang percaya kepada Kristus.

11 Kamu tahu bahawa kami memperlakukan setiap orang daripada kamu seperti seorang bapa memperlakukan anak-anaknya.

12 Kami menasihati kamu, kami menggalakkan kamu, dan kami menggesa kamu supaya hidup sedemikian rupa sehingga menyenangkan hati Allah. Dialah yang memanggil kamu untuk menikmati Dunia Baru Allah dan kemuliaan-Nya.

13 Kami mempunyai alasan lain yang menyebabkan kami sentiasa bersyukur kepada Allah. Ketika kami menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu, kamu mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Allah. Memang perkhabaran itu daripada Allah! Allah bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus.

14 Saudara-saudaraku, kamu sudah mengalami perkara yang juga dialami oleh jemaah Allah di Yudea, yang menjadi milik Kristus Yesus. Kamu mengalami penganiayaan daripada orang sebangsa kamu sendiri, seperti jemaah di Yudea yang mengalami penganiayaan daripada orang Yahudi.

15 Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Yesus dan nabi-nabi, serta menganiaya kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan mereka menyebabkan Allah sangat murka!

16 Bahkan mereka berusaha menghalangi kami mengisytiharkan perkhabaran Allah kepada orang bukan Yahudi, dan sebenarnya perkhabaran itu dapat menyelamatkan mereka. Demikianlah orang Yahudi terus-menerus menambah dosa sampai hadnya. Sekarang kemurkaan Allah menimpa mereka!