6 Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain.
7 Sebenarnya sebagai rasul Kristus kami boleh menuntut sesuatu daripada kamu. Tetapi apabila kami bersama-sama kamu, kami bersikap lemah lembut seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya.
8 Kerana kami mengasihi kamu, kami bersedia mati bagi kamu di samping memberitahu kamu Berita Baik daripada Allah. Kami sangat mengasihi kamu!
9 Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat bagaimana kami bertungkus lumus! Kami bekerja siang malam supaya kami tidak menjadi beban kepada kamu semasa kami mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.
10 Kamulah saksi kami, demikian juga Allah. Kelakuan kami suci, benar, dan tidak bercela terhadap kamu yang percaya kepada Kristus.
11 Kamu tahu bahawa kami memperlakukan setiap orang daripada kamu seperti seorang bapa memperlakukan anak-anaknya.
12 Kami menasihati kamu, kami menggalakkan kamu, dan kami menggesa kamu supaya hidup sedemikian rupa sehingga menyenangkan hati Allah. Dialah yang memanggil kamu untuk menikmati Dunia Baru Allah dan kemuliaan-Nya.