1 Tentang kedatangan Tuhan kita Yesus Kristus dan tentang hal kita dikumpulkan bersama-sama Dia kelak, aku menggesa kamu, saudara-saudaraku supaya hal-hal ini tidak berlaku.
2 Janganlah kamu gelisah, dan janganlah fikiran kamu cepat dikelirukan kerana orang berkata bahawa hari kedatangan Tuhan sudah tiba. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kami mengatakan demikian semasa bernubuat atau mengajar atau menulisnya di dalam surat.
3 Janganlah biarkan orang menipu kamu, kerana hari itu hanya akan tiba, apabila banyak orang memberontak terhadap Allah, dan Manusia Jahat yang ditetapkan masuk ke neraka, menampilkan diri.
4 Dia akan melawan semua yang disebut tuhan. Dia menganggap dirinya lebih berkuasa daripada semua yang disembah oleh manusia. Bahkan dia akan masuk ke Rumah Allah dan duduk di situ serta mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.
5 Ingatlah bahawa aku pernah memberitahu kamu semua itu semasa aku bersama-sama kamu.
6 Namun kamu tahu bahawa ada sesuatu yang menghalang perkara itu daripada berlaku sekarang ini. Manusia Jahat itu akan menampilkan diri pada masa yang ditentukan oleh Allah.
7 Kekuasaan yang melakukan kejahatan sudah mula bertindak secara rahsia. Tetapi perkara yang akan berlaku itu tidak akan terjadi, selagi yang menahannya tidak disingkirkan.