12 Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan.
13 Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus.
14 Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat.
15 Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah.
16 Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih.
17 Oleh itu, demi nama Tuhan aku memberikan amaran ini: Janganlah kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, yang berfikiran sia-sia.
18 Mereka tidak dapat memahami apa-apa. Mereka tidak mengenal kehidupan yang diberikan oleh Allah, kerana mereka jahil dan degil.