Filipi 2:12-19 BM

12 Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah,

13 kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

14 Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar.

15-16 Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia.

17 Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua.

18 Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku.

19 Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku.