Galatia 3:12-18 BM

12 Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.”

13 Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.”

14 Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah.

15 Saudara-saudaraku, biarlah aku gunakan contoh daripada pengalaman sehari-hari. Apabila dua orang mengikat janji, lalu menandatangani perjanjian itu, tidak seorang pun dapat membatalkannya ataupun menambahkan apa-apa.

16 Allah telah membuat janji-janji-Nya kepada Abraham dan kepada seorang keturunan Abraham. Di dalam Alkitab tidak tertulis, “dan kepada keturunanmu,” yang bererti banyak orang. Yang tertulis adalah, “dan kepada seorang keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus.

17 Inilah yang aku maksudkan: Allah telah membuat satu perjanjian dengan Abraham, dan Allah berjanji hendak memenuhinya. Taurat yang diberikan 430 tahun kemudian tidak dapat memansuhkan perjanjian itu ataupun membatalkan janji Allah.

18 Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya.