18 Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya.
19 Jika demikian, apakah tujuan Taurat? Taurat diberikan untuk menunjukkan pelanggaran manusia. Taurat itu terus berlaku sehingga kedatangan seorang keturunan Abraham, yang disebut dalam janji Allah kepada Abraham. Taurat disampaikan oleh malaikat-malaikat dengan perantaraan seorang manusia.
20 Seorang perantara diperlukan apabila ada dua pihak. Tetapi Allah tidak memerlukan perantara, kerana Dia sendiri bertindak.
21 Adakah hal ini bererti bahawa Taurat berlawanan dengan janji-janji Allah? Tentu tidak! Jika manusia sudah menerima hukum agama yang dapat memberikan hidup, maka manusia dapat berbaik semula dengan Allah, melalui ketaatan kepada hukum agama itu.
22 Tetapi di dalam Alkitab tertulis bahawa semua umat manusia dikuasai oleh dosa. Oleh itu pemberian yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan kepada Yesus Kristus, diberikan kepada mereka yang percaya.
23 Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan.
24 Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus.