Galatia 3:8-14 BM

8 Alkitab telah memberitahu terlebih dahulu bahawa Allah memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, jika mereka percaya kepada-Nya. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Berita Baik itu diberitahu kepada Abraham sebelum perkara itu berlaku, “Melalui engkau, Allah akan memberkati semua umat manusia di atas bumi.”

9 Abraham percaya lalu dia diberkati. Demikianlah Allah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya, seperti Dia memberkati Abraham.

10 Mereka yang bergantung kepada Taurat, hidup di bawah kutukan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang tidak melakukan semua yang tertulis di dalam kitab Taurat, dikutuk oleh Allah!”

11 Sekarang nyatalah bahawa tidak seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah kerana mengikut Taurat. Hal ini tertulis di dalam Alkitab, “Hanya orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup.”

12 Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.”

13 Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.”

14 Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah.