19 Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus.
20 Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu.
21 Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa?
22 Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas.
23 Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah.
24 Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi.
25 Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi.