26 Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.
27 Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu.
28 Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel.
29 Kerana beriman, orang Israel dapat menyeberang Laut Merah, seolah-olah mereka berjalan di atas tanah yang kering. Ketika orang Mesir cuba menyeberang, mereka mati lemas di dalam laut itu.
30 Kerana beriman, orang Israel menyebabkan tembok-tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari.
31 Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah.
32 Perlukah aku meneruskannya? Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi.