Ibrani 11:3-9 BM

3 Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat.

4 Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban yang lebih baik daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain kepada Allah. Dengan imannya itu, Habel diterima oleh Allah sebagai orang yang baik, oleh sebab Allah menerima persembahannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata sampai sekarang, meskipun dia sudah meninggal.

5 Kerana beriman, Henokh tidak mati. Sebaliknya dia diangkat dan dibawa kepada Allah. Tidak seorang pun dapat menjumpainya, kerana dia sudah diangkat oleh Allah. Di dalam Alkitab tertulis, bahawa sebelum Henokh diangkat, dia menyenangkan hati Allah.

6 Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya.

7 Kerana beriman, Nuh mendengarkan amaran Allah tentang perkara-perkara pada masa depan, yang belum dilihat olehnya. Nuh taat kepada Allah, lalu membina sebuah bahtera yang kemudian menyelamatkan dia dan keluarganya. Dengan demikian dunia dihukum, dan kerana imannya Nuh dinyatakan oleh Allah sebagai orang yang baik.

8 Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi.

9 Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah.