7 Hal ini nyata kerana Allah telah menentukan suatu hari yang lain, yang disebut “Hari Ini.” Allah berfirman tentang hal ini bertahun-tahun kemudian melalui Daud, dalam ayat yang telah dikutip tadi,“Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah,janganlah berkeras kepala.”
8 Sekiranya Yosua sudah memberi mereka rehat yang dijanjikan oleh Allah, tentu Allah tidak akan berfirman lagi tentang suatu hari yang lain.
9 Oleh itu masih ada lagi rehat bagi umat Allah, seperti Allah berehat pada hari yang ketujuh itu.
10 Hal itu demikian kerana sesiapa mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah, akan berehat juga daripada kerjanya sebagaimana Allah berehat daripada kerja-Nya.
11 Oleh itu, marilah kita berusaha sebaik-baiknya untuk mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah. Janganlah seorang pun daripada kita gagal seperti mereka dahulu, kerana tidak percaya kepada Allah.
12 Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh, sampai ke batas antara sendi-sendi dan tulang sumsum. Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia.
13 Tiada sesuatu pun dapat disembunyikan daripada Allah. Segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Allah. Kita semua harus memberikan pertanggungjawapan tentang hidup kita kepada Allah.