5 Di atas Tabut itu terdapat dua kerub iaitu makhluk bersayap yang melambangkan hadirat Allah. Sayap kerub ini terbentang di atas penutup Tabut, tempat dosa diampunkan. Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan semuanya dengan terperinci.
6 Demikianlah semua itu diatur. Setiap hari imam-imam masuk ke dalam bahagian depan khemah itu untuk menjalankan tugas mereka.
7 Hanya Imam Agung yang masuk ke bahagian paling dalam daripada khemah itu, dan hal itupun dilakukannya hanya sekali setahun. Dia membawa darah yang dipersembahkannya kepada Allah bagi dirinya sendiri dan bagi dosa yang dilakukan oleh umat dengan tidak disedari.
8 Dengan aturan tersebut, Roh Allah mengajar kita dengan jelas, bahawa selama bahagian depan khemah itu masih berdiri, jalan masuk ke dalam Bilik Maha Suci itu masih belum terbuka.
9 Hal ini melambangkan zaman sekarang. Maknanya, semua persembahan dan korban binatang yang dipersembahkan kepada Allah tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang membawa persembahan.
10 Semua itu hanya berkenaan dengan makanan, minuman, dan berbagai-bagai upacara penyucian. Semua itu hanya peraturan lahir yang berlaku sehingga masanya Allah mengadakan pembaharuan.
11 Tetapi Kristus sudah datang sebagai Imam Agung daripada perkara-perkara baik, yang sudah ada di sini. Khemah tempat Dia menjalankan tugas sebagai Imam Agung, adalah lebih penting dan lebih sempurna. Khemah itu tidak dibuat oleh manusia, ertinya bukan sebahagian daripada dunia yang diciptakan ini.