14 Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.
15 Dia berkata, “Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!”
16 Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik.
17 Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.”
18 Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus.
19 Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu.
20 Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.