5 Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan.
6 Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan.
7 Dia mengisytiharkan berita ini, “Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya.
8 Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah.”
9 Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan.
10 Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya.
11 Lalu terdengarlah suara Allah, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.”