1 Dua hari sebelum Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi, ketua imam dan guru Taurat mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan diam-diam. Mereka hendak membunuh dia.
2 Tetapi mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana rakyat akan merusuh.”
3 Yesus ada di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika Yesus sedang makan, seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar yang berisi minyak wangi mahal daripada akar wangi. Dia memecahkan botol itu lalu menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus.
4 Beberapa orang di situ marah dan bercakap sesama sendiri, “Apa gunanya minyak wangi itu dibazirkan?
5 Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Mereka mengecam wanita itu.
6 Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji.
7 Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu.