41 Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa.
42 Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”
43 Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi.
44 Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!”
45 Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia.
46 Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat.
47 Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya.