6 Lelaki muda itu berkata, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan Dia.
7 Sekarang pergilah dan sampaikan khabar ini kepada pengikut-pengikut-Nya termasuk Petrus. Katakan, ‘Dia pergi terlebih dahulu daripada kamu ke Galilea. Di situ kamu akan melihat Dia, sebagaimana yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.’ ”
8 Mereka keluar lalu lari dari kubur itu kerana terkejut dan takut. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut.[
9 Setelah Yesus bangkit daripada kematian pada pagi-pagi hari Ahad, mula-mula Dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena. (Tujuh roh jahat pernah diusir daripada diri Maria.)
10 Maria Magdalena pergi menyampaikan khabar itu kepada sahabat-sahabat Yesus, yang sedang berkabung dan menangis.
11 Tetapi apabila mereka mendengar Maria berkata bahawa Yesus hidup dan bahawa Maria sudah nampak Yesus, mereka tidak percaya.
12 Sesudah itu Yesus menampakkan diri kepada dua orang pengikut-Nya dengan cara lain. Hal itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung.