9 Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’?
10 Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.”
11 Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!”
12 Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!”
13 Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka.
14 Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri lalu mengikut Yesus.
15 Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya.