1 Beberapa orang Farisi dan guru Taurat yang datang dari Yerusalem, berkumpul di sekeliling Yesus.
2 Mereka melihat beberapa orang pengikut Yesus makan dengan tangan yang tidak bersih menurut agama, iaitu tanpa terlebih dahulu membasuh tangan menurut peraturan agama Yahudi.
3 Baik orang Farisi mahupun orang Yahudi lain, semuanya menurut adat istiadat nenek moyang. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditetapkan.
4 Makanan yang dibeli di pasar tidak akan dimakan, sebelum dibasuh terlebih dahulu. Banyak lagi peraturan lain yang diamalkan oleh mereka, seperti cara membasuh cawan, mangkuk, dan periuk tembaga.
5 Oleh itu semua orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang tidak dibasuh?”
6 Yesus menjawab, “Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, tatkala dia bernubuat tentang kamu! Kamu munafik, seperti yang dituliskan oleh Yesaya di dalam kitabnya,‘Demikianlah firman Allah:Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata,tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku.